FADHILAT BULAN SYAABAN

Khamis, 15 Julai 2010


BULAN SYA'BAN :

Persediaan Di Ambang Ramadhan

Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Sya‘ban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Juma‘at, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.

Bulan Sya‘ban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya

Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban. Bulan Sya‘ban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.

Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban.

Dalam makna yang lain Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban

Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan beristiqhfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syara‘. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:

1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.

3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah subhanahu wa Ta‘ala memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:

i. Menenangkan hati:

Ini bersesuaian dengan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:

Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.

Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.

iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.

iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:

Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu.

Antara keistemewaan amalan zikir itu pula ialah:

i. Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa walaupun sedang melakukan pekerjaan tanpa terikat dengan waktu. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, tidur, berdiri dan baring.

ii. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Walau bagaimanapun makruh berzikir secara lisan ketika berada di dalam tandas.

Begitu juga dengan perkara doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara merendahkan diri dan tawadhu‘ kepadaNya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda:

Maksudnya: “Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.

(Hadis riwayat an-Nasaie)

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban

Adapun kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis shahih daripada Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhlukNya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)

Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban

Nisfu Sya‘ban ialah hari ke lima belas daripada bulan Sya‘ban. Malam Nisfu Sya‘ban merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu‘az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu di atas.

Adapun cara menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi‘in dari penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib al-Ladunniyah, bahawa para tabi‘in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Sya‘ban. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.

Para tabi‘in tersebut menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan dua cara:

1. Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.

2. Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.

Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan membaca Al-Qur'an seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi‘in itu.

Amalan-Amalan Bid‘ah Dalam Bulan Sya‘ban

Dalam keghairahan kita menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban itu dengan berbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan perkara-perkara bid‘ah.

Di antara perkara bid‘ah itu ialah bersembahyang sunat Nisfu Sya‘ban. Sembahyang ini sebenarnya tiada tsabit dalam ajaran Islam. Imam an-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar telah menafikan adanya sembahyang sunat Nisfu Sya‘ban kerana suatu sembahyang itu disyariatkan cukup dengan sandarannya sama ada dari nash Al-Qur'an atau pun hadis.

Jika seseorang itu masih juga ingin untuk melakukan sembahyang, maka sayugialah dia mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sunat Awwabin (di antara waktu maghrib dan Isya'), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau sembahyang sunat muthlaq bukan sembahyang sunat Nisfu Sya‘ban. Sembahyang sunat muthlaq ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nisfu Sya‘ban atau pada malam-malam yang lain.

Adalah mendukacitakan pada malam yang penuh berkat dan keampunan itu, wujud perkara-perkara yang tidak selari dengan syara‘, iaitu adanya orang yang membuat hiburan atau mengadakan konsert pada Malam Nisfu Sya‘ban. Apatah lagi jika hiburan atau permainan yang diadakan itu melibatkan ramai orang Islam sehingga terlepas untuk merebut peluang beribadat dan berdoa pada malam tersebut. Perbuatan seumpama ini setentunya menyumbang kepada maksiat.

Sesunguhnya bulan Sya‘ban itu adalah bulan di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak berpuasa sunat dibandingkan pada bulan-bulan yang lain, iaitu sebagai persiapan dan persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Amalan Baginda itu sewajarnya dicontohi oleh sekalian umat Islam disamping bulan Sya‘ban itu sendiri mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti Malam Nisfu Sya‘ban.

*********

FADHILAT SYA'BAN
sumber: http://members.tripod.com/~DarulUlum/BH2

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina 'Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )

2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina 'Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya'ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan ( mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)

3. Telah memberitahu kami Sufian bin 'Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi Salamah telah berkata : Aku telah bertanya Sayyidatina 'Aishah tentang puasa Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga kami berkata : Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada puasa baginda S.A.W pada bulan Sya'ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa Sya'ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit daripadanya.

(Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya)

4. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina 'Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya'ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)

5. Telah memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah berkata: Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana engkau puasa padanya. Soal Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku telah berkata: Sya'ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupai manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Mka aku berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu.Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.

( Hadis ini sanadnya Hasan dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi )

HADIS MENGENAI KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN

1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta'ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu(pertengahan) daripada Sya'ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )

2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-'As daripada Nabi S.A.W telah bersabda : Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya'ban, pemanggil akan memang- gil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.

( Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti)

Penerangan Hadis:

1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya'ban yang mana Rasulullah S.A.W sentiasa berpuasa bahkan melebihi bulan-bulan yang lain.

2. Hadis-hadis ini juga menerangkan bagaimana hukum berpuasa pada bulan Sya'ban iaitu sunat bukannya wajib. Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi'liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujjah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut. Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.

4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.

5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya'ban terutama pada malam pertengahan bulannya. Baginda S.A.W juga mengajar kita agar menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.

7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mapu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.

8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara. Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.

9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.

Read more...

MUSLIMAT DAN REALITI MASA KINI

Selasa, 6 Julai 2010



Realiti dunia masakini telah menyaksikan bahawa kepesatan umat manusia dan keruntuhan tamadunnya yang semakin hari semakin meruncing. Kebejatan masalah sosial tanpa mengira batasan usia, krisis politik negara dan dunia yang telah tercemar dan bermacam-macam lagi kerosakan yang melata di muka bumi ini. Segala permasalahan tersebut telah menarik penulis dengan menyebarkan medium dakwah bagi berkongsi fikrah untuk kaum muslimat. Penulis lebih suka untuk menggunakan perkataan ‘muslimat’ tidak ‘wanita’ dan tidak ‘kaum ibu’ kerana ianya mempunyai perbezaan dari segi peranannya.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala yang bermaksud:

“ Ia (Allah) menamakan kamu muslimin sejak dari zaman berzaman dan juga (kamu dipanggil muslimin) di dalam kitab al-qur’an”.
( Al-Hajj: 78)
“sesungguhnya muslimin dan muslimat dan mukminin serta mukminat..”
(Al-Ahzab: 35)
Ayat–ayat tersebut memberi jawapan mengapa penulis lebih berminat untuk menggunakan perkataan muslimat di dalam artikel ini.

Tanggungjawab muslimat dan peranannya

Muslimat sebagai anggota masyarakat perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah-amanah yang telah ditaklifkan oleh Allah selaku khalifah dan hamba-Nya di muka bumi. Muslimat merupakan tunggak kepada pembentukan sesebuah masyarakat kerana merekalah kaum ibu yang bakal melahirkan generasi akan datang. Maka peranan muslimat adalah mendidik serta menjaga kelangsungan generasi Islam itu sendiri agar generasi yang lahir itu menjadi “generasi terpimpin” yang dibentuk dengan acuan Islam seterusnya membentuk khaira ummah. Kehebatan tugas kaum ibu yang mampu melahirkan generasi gemilang ini pernah disebut dengan ungkapan “tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah!”. Tetapi apa yang penulis dapat lihat bahawa ungkapan itu kini sudah tidak realistik lagi dan telah berubah kepada “tangan yang menghayun buaian, menggoncang iman meruntuh ummah!”. Ianya melambangkan kelemahan dan keruntuhan moral masyarakat yang semakin tenat ini.

Keberadaan muslimat bersama massa merupakan suatu kewajipan sebagai pembantu bagi kaum muslimin dalam menjalankan suruhan “amar makruf dan nahi munkar”. Namun di sana ada perbezaan hak dan tugas di antara muslimin dan muslimat sama ada di bidang ibadat mahupun di bidang kemasyarakatan. Peranan muslimat mempunyai beberapa pembahagian yang mengasingkannya dari sudut-sudut berbeza. Peranan muslimat sebagai seorang isteri, ibu dan sebahagian dari massa merupakan elemen penting yang perlu diambil perhatian. Perubahan segera perlu dibuat dari lebih suka berada di “zon selesa” ke medan sebenar yang penuh dengan “mehnah dan tribulasi”. Kematangan dan pengalaman hidup akan diperolehi dengan keluar dari ruang lingkup yang selama ini membelenggu diri tanpa sebarang sumbangan untuk Islam.

Persiapan muslimat untuk mendepani cabaran

Persiapan perlu dibuat oleh muslimat bagi mendepani cabaran masakini. Di antara persiapan yang perlu dibuat adalah persiapan ilmu yang menjadi keperluan penting dengan sentiasa mendalami ilmu sebagai satu kewajipan. Muslimat wajib mendalami ilmu yang dipelajari dalam setiap bidang terutama asas aqidah yang mencernakan akhlak dan menzahirkan syariat. Muslimat hendaklah memiliki kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang lain agar seiring dengan kehendak massa. Asas terpenting kecemerlangan seseorang adalah ilmu dan kepakaran.

Persiapan memperkasa minda dan pemikiran juga dituntut sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
(surah al-Baqarah : 269)

keupayaan minda dan pemikiran sebenarnya menjadi isu dalam mengukur kebolehan kolektif muslimat. Kerana itu persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki ‘ bacaan politik’ (qiraat siyasi) yang tajam serta memahami keperluan melakukan perubahan bersikap elastik dan juga keupayaan membaca serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang dilancarkan musuh. Pemikiran yang matang seperti ini akan melahirkan muslimat yang akan berdakwah dan mempertahankan ad-deen tercinta serta bertindak mengikut rentak kontemporari (mua’sir). Hapuskanlah virus yang mencengkam diri, kebuntuan minda akibat ‘buta maklumat’ dan terperangkap dalam kejumudan.

Persiapan seterusnya adalah membentuk jatidiri berwibawa. Pembentukan jatidiri perlu dimaksimakan dengan mengenepikan kekurangan yang ada seterusnya dilengkapkan dengan penjanaan kendiri yang lebih matang. Tidak dinafikan wanita tidak boleh dipisahkan dengan sifat malunya, tetapi jangan sampai malu untuk menyatakan kebenaran, pendapat dan sebagainya. Jangan biarkan perasaan malu itu terus membaluti diri! Muslimat perlu keluar dari kepompong fenomena “complaisant” dan “culture of fear”.

Buang mentaliti orang ke-2 atau ke-3 iaitu dgn membiarkan ikon yang sedia ada sahaja ke hadapan tanpa melihat tanggungjawab yang ada pada diri, tetapi muslimat perlu menjadi yang pertama. Pada hari ini sukar untuk kita nyatakan siapakah pemimpin wanita tanahair yang unggul. Malaysia belum pernah mencatat sejarah memiliki seorang karekter wanita setanding Ibu Kartini atau Aung San Suu Kyi dalam memimpin perubahan masyarakat kalau pun tidak memimpin negara seperti Corazon Aquino, Benazir Bhutto , Magaret Thatcher, Indira Ghandi dan Khaleda Zia. Jauh sekalilah jika ingin mencari bayangan Saidatina Aisyah , Nusaibah atau Khaulah Al-Azwar yang bersinar di medan perang. Kegiatan muslimat masih berlegar dalam gelanggang pembelaan kaum sejenis dan masih belum melangkau ke arah memimpin masyarakat keseluruhannya.

Persiapan perlu dibuat dan jangan ‘limit’kan kemampuan diri ke tahap yang rendah. Tetapi katakan dalam diri bahawa “ belum cuba belum tahu” atau “ hendak seribu daya..”. berusaha memotivasikan diri sendiri adalah salah satu cara bagi membentuk jatidiri yang berwibawa. Tentukan “muwasafat” yang diperlukan oleh diri. Jangan biarkan sindrom muslimat yg terlalu merendah diri diperkatakan lagi oleh golongan tertentu. Gerakkan agenda perubahan yang lebih serius serta peruntukan masa untuk membangunkan dan membina diri. Muslimat perlu sedar bahawa pertembungan pada hari ini adalah pertembungan antara kebatilan dan kebenaran yang tidak akan ada perdamaian.

Muslimat pembangun ummah

Perlaksanaan Amal Islami yang ideal adalah yang bertunjangkan al-quran dan as-sunnah. Ironinya idealisme ini masih belum mendapat perhatian serius dari semua pihak. Kebanyakannya masih meletakkan perbezaan antara peranan muslimin dan muslimat dalam menjalankan amal Islami dan menyebarkan dakwah. Kesedaran ini perlu dirasa bersama seterusnya memudahkan amal Islami dijalankan. Persedian yang telah disarankan adalah antara panduan sebagai peneraju kepada kebangkitan muslimat dalam membentuk masyarakat.

Penulis mengharapkan responsive segera muslimat untuk terus maju melangkah ke hadapan agar menjangkau kehebatan kaum kuffar. Peristiwa penghinaan hak-hak muslimat sepatutnya memberikan kesan sensitivity kepada mereka. Muslimat harus bingkas bangun dan menzahirkan penentangan mereka dan juga dalam hal-hal urusan yang lain yang menyinggung kepentingan wanita secara khususnya dan kemaslahatan umat Islam.

Harapannya semoga muslimat dapat bersatu dan bergabung tenaga bagi mendepani isu-isu wanita dan kekeluargaan merentasi batas kaum etnik dan agama. Jika gerakan wanita bukan Islam berani dan biadap dengan berusaha sedaya upaya untuk merosakkan Islam, adakah muslimat masih berdiam diri dan tidak mampu berusaha untuk mempertahankan Islam? Jika tidak muslimat siapa lagi?.

Read more...

SPR KATA HURU-HARA KALAU DAFTAR PENGUNDI AUTOMATIK...hahahahahahah..!

Isnin, 5 Julai 2010



PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik akan menimbulkan huru-hara dan mengganggu kelancaran proses pilihan raya pada hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, adalah mustahil melaksanakan sitem itu kerana maklumat yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada suruhanjaya berkenaan tidak dikemaskini.

“Kita ada masalah untuk dapatkan maklumat terkini daripada JPN, kerana waris si mati tidak mengambi sijil kematian daripada JPN.

“Ini menyebabkan maklumat mengenai orang yang telah meninggal dunia tidak dapat dikemaskini dan dibersihkan daripada daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Jadi kami tidak boleh dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa SPR melaksanakan sistem daftar pemilih automatik bagi menggalakkan lebih ramai orang muda mendaftar sebagai pengundi pada PRU13.

Abdul Hadi berkata masalah tersebut dapat mengatasi masalah pengundi yang tidak seimbang mengikut pecahan kaum.

Read more...

MUSLIMAH SEBAGAI ISTERI IBU DALAM PERJUAANGAN ISLAM

Ahad, 4 Julai 2010



Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan ikhlas hati dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma binti Yazid seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat, solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan mentaatinya, ia juga akan menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.



Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa suaminya di samping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. Mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.



Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia. Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang. Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya. Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya. Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan yang gawat.



Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami. Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.



Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Sebagai seorang ibu yang terlibat dalam harakah Islamiyyah, seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintimakan (menyertai) jamaah Islam, supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga. Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil.

Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, perkhemahan, jambori amal, ceramah dan muktamar mahu pun lain-lain program parti dan jamaah.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP