BEKAS PERAJURIT DAKWA TIDAK DAPAT PEMBELAAN

Khamis, 29 April 2010



TELUK INTAN - Tugas dan tanggungjawab tentera begitu besar terhadap pertahanan negara, malah semasa mereka berkhidmat pelbagai penghargaan dan sanjungan diterima tetapi selepas bersara, segala khidmat bakti mereka dilupakan sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa hidup dalam kesengsaraan.

Perkara itu diakui Mohd Anuar Yahya yang kecewa dengan Persatuan Bekas Tentera dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana tidak dapat menjaga kebajikan bekas tentera sepertinya.

Menurutnya, permohonannya mendapatkan bantuan persekolahan sehingga kini tidak berjawab dan tuntutan perjalanan untuk rawatan kesihatan juga sepi tanpa berita.

“Sebagai bekas perajurit, saya sangat kecewa kerana kebajikan kami tidak mendapat perhatian daripada pihak berkenaan sedangkan semasa berkhidmat tidak pernah kami menuntut apa-apa demi memastikan kedaulatan negara dipelihara.

“Bukan kami minta yang bukan-bukan, cuma sedikit bantuan bagi meringankan beban yang kami tanggung selama ini kerana kebanyakan yang menyertai tentera adalah orang miskin,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Aman, di sini, semalam.

Mohd Anuar berkata, semua permohonannya dibuat mengikut prosedur ditetapkan, tetapi masih juga tidak mendapat seperti apa yang diharapkan.

Katanya, jika sebelum ini bantuan sukar diperoleh disebabkan bekas tentera tidak menyertai persatuan, tetapi perkara sama masih berlaku selepas menjadi ahli persatuan.

Dakwanya, terdapat beberapa ahli lain turut kecewa dengan sikap persatuan kerana memilih orang tertentu untuk diberikan bantuan.

“Bila terjadi masalah seperti ini, kami rasakan seolah-olah pengorbanan sebelum ini untuk mempertahankan negara langsung tidak dihargai.

“Apa guna kami menyertai persatuan jika mereka gagal menjaga kebajikan kami yang selama ini memerlukan bantuan?,” katanya.

Mohd Anuar berkata, dia menuntut bantuan perjalanan kerana terpaksa berulang-alik ke Institut Jantung Negara (IJN) enam bulan sekali untuk menjalani rawatan.

“Jika tuntutan perjalanan itu diberikan, kos untuk menjalani rawatan di IJN dapat dikurangkan.

“Saya berharap pihak persatuan dan JHEV meneliti serta mengambil berat terhadap bekas-bekas perajurit ini supaya sisa hidup kami berakhir dengan kegembiraan dan kesenangan,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP