PERKASA KUANTITI DAN KUALITI AHLI - YDP PAS TELUK INTAN

Isnin, 19 April 2010



TELUK INTAN, 19 April - Penekanan kepada aspek tarbiyyah terutamanya usrah amat penting demi memperkasakan kualiti ahli. Oleh itu, setiap cawangan perlu mengambil berat akan program usrah agar para ahli dapat melalui proses pentarbiyyahan dengan sempurna. Demikian antara isi ucapan yang telah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Haji Ismail bin Che Nik di dalam majlis perasmian mesyuarat agung kawasan. Mesyuarat agung telah diadakan di Markaz PAS Kawasan, Kg. Padang Tembak. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr. Khairuddin bin Dato' Malik.

"Oleh kerana itu, para pimpinan cawangan dan kawasan adalah wajib menyertai usrah sama ada di cawangan atau kawasan," tegas beliau lagi.

Di samping itu, para ahli parti perlu berusaha menambah bilangan ahli baru.

"Strategi mencari ahli baru boleh kita laksanakan melalui kaedah 3BAT iaitu kaum kerabat, sahabat dan rakan sepejabat," ujar beliau.





Pada masa yang sama, beliau juga ingin mengingatkan para perwakilan bahawa usaha menuntut pembubaran DUN Perak masih diteruskan. Oleh kerana itu, setiap cawangan atau Unit Peti Undi mesti sentiasa bersedia dengan melakukan gerak kerja pilihanraya terancang mulai sekarang seperti pengumpulan dana dan menambah pengundi baru demi mempertahankan DUN Changkat Jong.

Beliau juga menyatakan bahawa kini sayap parti telah bertambah. Selain daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, kini telah wujud Dewan Himpunan Penyokong PAS.

"Jika Dewan Pemuda diangap sebagai sayap kanan parti, Dewan Muslimat sebagai sayap kiri parti maka kini Dewan Himpunan akan menjadi ekornya yang berfungsi mengimbangi kekuatan parti," tambah beliau.

Akhir sekali, Ustaz Haji Ismail memaklumkan akan usaha PAS kawasan yang sedang berusaha membeli tanah yang terletak bersebelahan bangunan markaz. Beliau menyeru agar para ahli dapat memberikan sumbangan agar pembayaran tanah dapat diselesaikan secepat mungkin. Di atas tapak tanah tersebut, pihak PAS kawasan bercadang membina sebuah dewan terbuka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP