ADAKAH ISLAM ANTI NON-MUSLIM...?

Sabtu, 12 Jun 2010



PENGKALAN CHEPA, 12 Jun - "Adakah Islam anti non-muslim ?" demikian ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika menjawab isu yang sengaja dibangkitkan beberapa pihak sejak akhir-akhir ini berhubung penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggap menggadaikan dasar perjuangan PAS.

Beliau melontarkan persoalan sama ada pihak yang menimbulkan isu tersebut mengetahui dasar perjuangan PAS ataupun tidak.


"Adakah mereka mengetahui apakah dasar perjuangan PAS dan perlembagaan yang sebenarnya sehingga mereka boleh mencipta persoalan tersebut?" ujarnya ketika ditemuramah dalam sidang webtv Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 pagi tadi.

ustaz Haron menjelaskan sejak awal kedatangan Islam dengan pengutusan Nabi Muhammad saw, baginda telah mengadakan banyak kerjasama politik dengan musyrikin Mekah yang tidak beragama Islam.


"Baginda sendiri telah menjalinkan hubungan yang berbentuk perjanjian dan pertolongan manakala zaman sekarang dipanggil tahaluf siyasi.


"Rasulullah sendiri bekerjasama dengan orang Yahudi ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah, inilah Islam kerana pada saat tertentu Allah menentukan kejadian seperti itu pasti mempunyai sebabnya yang tersendiri untuk digunakan pada masa hadapan," katanya lagi.


Maka, tegasnya tindakan Rasulullah tersebut juga jika dikaitkan dengan tohmahan pihak tertentu yang menuduh hubungan dengan masyarakat bukan Islam sebagai menggadaikan prinsip adalah suatu yang tidak tepat.


"Adakah Rasulullah yang mendapat bantuan dan sokongan orang-orang Yahudi bermaksud baginda telah menggadaikan Islam?" ujarnya lagi.



Beliau beranggapan pihak yang memainkan isu tersebut tidak memahami Islam dan sengaja ingin melemparkan fitnah bagi memburukkan nama PAS.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP