ADUN BN PERAK PULAK LOMPAT...?

Isnin, 14 Jun 2010



IPOH 13 Jun - Barisan Nasional Perak bakal menerima tamparan hebat apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu dikartakan bakal mengambil tindakan nekad mengumumkan untuk melompat menyertai KEADILAN dalam masa terdekat.

Ini berpunca rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap sikap piloiha kasih dan diskriminasi yang di amalkan Menteri Besar 'Mahkamah', Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam pentadbirannya hingga ADUN BN terbabit merasakan sumbangan dan jasa mereka kepada parti dan negeri Perak tidak dihargai.

Malah Dr Zambry dikatakan lebih menjaga kepentingan dan kebajikan tiga bekas ADUn Pakatan Rakyat yang melompat sebagai anggota Bebas.

Pada satu sidang media yang diadakan di sini tengahari tadi, Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Zulkifli Ibrahim menjelaskan beberapa ADUN BN telah berjumpa beliau menyatakan tidak puas hati dengan kepimpinan Dr Zambry.

"Barisan Nasional dan Umno Perak sekarang sedang mengalami krisis dalaman yang agak parah, terdapat beberapa ADUN mereka telah berjumpa dengan kita serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Zambry yang dilihat berat sebelah.

"Mereka menjelaskan polisi kerajaan BN sudah semakin tidak stabil dan dilihat sudah jauh tersimpang dari agenda perjuangan sebelum ini. Sikap Zambry yang memberi keistimewaan kepada ADUN Bebas melebihi mereka yang berada lebih lama di dalam Umno.

"Layanan istimewa yang diberikan oleh Zambry itu menyebabkan mereka terasa tersisih, ini bukan sahaja berlaku kepada ADUN malah juga kepada Ketua-ketua Bahagian Umno," jelasnya.

Zulkifli juga memberitahu kalangan ADUN dan pemimpin Umno Perak yang tidak berpuashati dengan stail kepimpinan Dr Zambry telah memulakan Gerakan Anti Zambry (GAZ) yang dikatakan sedang bergerak aktif dan mendapat sokongan dari setiap bahagian Umno dinegeri itu.

"Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang berada di dalam Umno bahawa satu gerakkan GAZ juga sudah bergerak secara aktif sejak sebulan yang lalu, pergerakkan ini mendapat sokongan dari setiap bahagian yang kecewa dengan Zambry.

"Pergerakkan tersebut dilakukan oleh Pemuda Umno sendiri dan melalui pertemuan dengan kepimpinan KEADILAN Perak mereka hanya menunggu isyarat yang sesuai untuk turut bersama dengan KEADILAN.

"Apa yang ingin saya jelaskan, mereka meminta nama mereka dirahsiakan dahulu kerana tidak mahu perkara yang tidak dikehendaki berlaku ke atas diri mereka jika pemimpin tertinggi BN mengetahui hasrat mereka untuk keluar dari BN.

"Pengumuman penting ini akan dilakukan oleh kepimpinan KEADILAN Perak bila tiba masa yang sesuai nanti. Kita tidak mahu kejadian yang lama berulang kembali," kata beliau lagi.

Zulkifli memberitahu rakyat dan kepimpinan Umno Perak kecewa dengan tindakan pemimpin tinggi Umno-BN yang mengamalkan rasuah untuk memancing tiga ADUN Pakatan Rakyat untuk lompat parti awal 2009 sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat diambil alaih secara haram oleh Dr Zambry.

"Umno Perak dan seluruh rakyat sudah menilai kerja kotor pimpinan tertinggi BN dengan menawarkan sejumlah wang yang besar kepada ADUN Pakatan dan mereka kecewa amalan rasuah bertambah teruk di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka menyifatkan Umno menggunakan jalan yang salah untuk memastikan kedudukan terjamin di Perak sehingga menghalalkan yang haram seperti mana kelulusan lesen judi," katanya lagi.

Zulkifli menambah kebanyakan ADUN BN yang bertemu dengannya menjelaskan akan berlaku kemerosotan kerusi BN pada pilihan raya umum yang akan datang, selain terdapat Orang Asal yang marah dengan kerajaan negeri kerana tidak mengambil tindakan segera tentang soal tanah mereka.

Beliau juga tidak menolak akan berlaku usaha yang dilakukan oleh BN bagi menghalang usaha ketiga-tiga ADUN tersebut untuk menyertai KEADILAN.

Beliau juga tidak pasti tindakan lompat parti sekiranya berlaku akan menyebabkan pembubaran DUN kerana pembentukan kerajaan sudah memasuki tahun ketiga.

Turut hadir sama pada sidang media tersebut termasuk Ketua Biro Strategi Negeri Perak, Md Nasib Rahim dan Ketua Biro Orang Asal Negeri Perak, Arsian Napiteopoeloe.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP