DAKWAH JATI DIRI MUSLIMAT PAS - USTAZAH NURIDAH

Khamis, 10 Jun 2010



Khamis, 10 Jun 2010 12:48 | Ditulis oleh Jabatan IT Muslimat PAS Pusat

PANTAI CAHAYA BULAN, 10 Jun - Mencapai usia emas 50 tahun Dewan Muslimat PAS, muslimat perlu menoleh ke belakang sebentar untuk memintas sebarang halangan yang bakal dihadapi dan terus menuju ke hadapan kerana perjalanan perjuangan muslimat masih panjang. Perjuangan ini menuntut setiap ahli untuk terus istiqamah dalam gerakan ini.


Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berucap dalam ucapan tema muktamar itu berkata penglibatan muslimat dalam gerak kerja pilihanraya turut menunjukkan perubahan yang cemerlang di mana muslimat terlibat secara langsung dalam setiap PRK yang berlangsung.


Kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU ke-12 yang lalu membuktikan perubahan positif ini. Muslimat PAS sanggup meredah bukit dan lurah, berpanas dan berhujan untuk sampai ke pengundi-pengundi dan menyantuni mereka dengan baik, katanya.


Seterusnya, beliau menyatakan Dasar pendekatan politik penyelamat yang diamalkan oleh Pas berjaya memecahkan tembok dan melampaui sempadan kaum, budaya dan agama.


"Kini konsep Pas for All - Pas untuk semua kini sudah hampir menjadi kenyataan. Pendekatan yang mencontohi kepimpinan ulama' iaitu pendekatan perjuangan secara aman serta kepimpinan bertaqwa berjaya memenangi hati rakyat untuk bersama-sama menyokong perjuangan Pas," ujarnya.


Namun begitu katanya, pendekatan politik penyelamat ini tidak sekali-kali menyokong sebarang kerjasama politik dengan UMNO dan Barisan Nasional yang telah mengkhianati amanah rakyat serta sangat memusuhi perjuangan PAS.


Dewan Muslimat PAS, menurut beliau sentiasa memastikan dakwah menjadi jati diri dalam kehidupan setiap muslimat kerana dakwah perlu sentiasa berjalan dan meresap masuk ke dalam jiwa setiap individu di luar sana.


Dakwah sangat perlu bagi merawat penyakit sosial yang kian berleluasa di kalangan rakyat di negara ini. Muslimat juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan NGO-NGO dan badan kebajikan lain bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan sekaligus melaksanakan tugas menyampaikan dakwah.


Di akhir ucapannya beliau menyatakan bahawa kepelbagaian pendapat yang berlaku dalam PAS merupakan suatu rahmat. Beliau turut berpesan kepada semua perwakilan dan hadirin supaya mengelakkan sikap mencari kesalahan orang lain dan sentiasa mengutamakan akhlak dalam berjemaah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP