HJ. NIZAR BERI KULIAH SUBUH DI TELUK INTAN

Ahad, 16 Mei 2010



TELUK INTAN, 16 Mei - MB Perak yang sah YAB Dato' Seri Hj. Nizar Jamaluddin telah berpeluang menyampaikan kuliah Subuh beliau di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak. Program tersebut sebenarnya adalah sempena program qiamullail PAS kawasan yang diadakan secara mingguan anjuran Lujnah Tarbiyyah dan Urusan Ulama PAS Kawasan Teluk Intan di mana di akhir program diadakan kuliah Subuh.

Kuliah Hj. Nizar adalah berdasarkan tafsiran surah an Nasr yang dikaitkan dengan perkembangan perjuangan dakwah dan politik PAS masa kini. Maksud surah an Nasr :



(1)Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (2)dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong (3)maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.

Antaranya, beliau menyentuh tentang sokongan luar biasa rakyat selepas tsunami politik pada PRU12 2008 yang lepas.

Beliau berkata, selama 50 tahun perjuangan PAS dicerca dan berhadapan dengan pelbagai masalah luar dan dalam namun oleh kerana berkat kesabaran dan istiqamah pimpinan dan ahli maka Allah akhirnya memberikan kemenangan.

Kemenangan dan sokongan yang diberikan juga adalah kerana sikap pimpinan dan ahli yang bersedia melakukan perubahan. Yang paling besar sekali ialah kesudian PAS mengadakan tahaluf siyasi dengan parti-parti lain seperti PKR dan DAP.

"Bukan itu sahaja, sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS juga adalah di luar jangkaan kita yang kesemuanya adalah dengan pertolongan Allah swt."

Oleh kerana itu, sebagai pejuang Islam, maka segala pertolongan Allah itu mesti disambut dengan bertasbih kepada Allah dan memohon keampunan dari Allah.

"Namun bertasbih bukanlah sekadar mengucapkan subhanallah semata-mata. Bertasbih bermaksud kita perlu melipatgandakan lagi usaha gerak kerja kita agar kemenangan dan sokongan ini dikekalkan," ujar beliau.

"Inilah yang selalu dipesan oleh Tuan Guru Mursyidul Am apabila beliau menasihati saya, antaranya ialah memelihara dengan baik sokongan orang ramai kepada PAS dan jangan sesekali mengkhianati sokongan tersebut."

Beliau juga menambah, hingga kini PAS dapat bertahan walaupun UMNO/BN telah beberapa kali menimbulkan isu-isu bagi tujuan memecah belahkan PAS.

Antara isu-isu dari UMNO yang dapat ditangani dengan baik oleh pimpinan PAS ialah isu kerajaan perpaduan dan isu penggunaan kalimah Allah. Malah, berkat kebijaksanaan ulama PAS, isu-isu ini telah bertukar mengena UMNO semula.

Akhirnya, Hj. Nizar menyeru agar pimpinan dan ahli PAS agar sentiasa bersedia menerima perubahan melalui tahaluf siasi serta menjaga dengan baik sokongan rakyat kepada PAS sekarang.

Turut hadir dalam majlis tazkirah tersebut ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Hj. Ismail Che Nik, ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, pimpinan kawasan, dewan-dewan, pimpinan cawangan serta para ahli dan penyokong.

0 ulasan:

Catat Ulasan

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP